Selamat datang ke blog Simulasi Pemikiran. Jangan lupa tinggalkan jejak sahabat-sahabat semua. Terima kasih kerana sudi ziarah blog ini. Salam ukhwah.

Wednesday, July 29, 2009

"Mencari Barang Yang Hilang Di Ardhul Kinanah"

Penulis : al-faqirah ils 'afwi robbiha



"Hikmah kebijaksanaan itu barang yang hilang bagi setiap orang yang beriman, barang siapa yang menjumpainya maka dia berhak ke atasnya".

Bicara Rasul junjungan SAW ini sentiasa terpapar di benakku, malah kujadikan pegangan dan motivasi dalam ku menyelusuri kehidupan sebagai penuntut fisabilillah ini. Ilmu ibarat teman setiaku. Hari-hariku sentiasa ku infakkan untuknya, hatiku sentiasa terikat bersamanya, malah mindaku sentiasa syaghal memikirkannya.


Di awal permukimanku di Bumi Anbiya' ini aku bersyukur kerana diperkenalkan dengan markaz ilmu yang telah berkurun lama bertapak di bumi ini dan sering menjadi sebutan di seantero dunia. Dari hari ke hari aku mula mengenali dan mendampinginya sehingga hati ini terpaut padanya. Walaupun pada awalnya agak sukar bagiku memahami setiap butir kata syeikh yang sememangnya alim dan mursyid, namun ku cuba memahaminya dengan sentiasa menghadirkan diri walaupun jarak menjadi perhitungan. Pun begitu, ku harapkan diri kerdil ini akan terus beristiqomah di atas jalan para ulamak terdahulu yang sanggup mengorbankan masa dan harta demi menadah ilmu daripada ahlinya.


Ku terasa manis pencarian ilmu ini apabila teman-teman seperjuangan bersama di sisi. Ketekunan mereka mendorongku untuk lebih cekal dalam jihad ilmu ini. Ku dapat rasai kemanisan ukhuwah ini ketika mana kami bersama- sama melangkahkan kaki ke Universiti Al- Azhar Asy-syarif pada bulan kedua keberadaan kami di Ardhul Kinanah ini. Melalui pembelajaran dan interaksi di kuliah bersama para doktor memberi peluang kepada kami untuk mengenali corak kehidupan bangsa Rasulullah s.a.w, bangsa Arab. Walaupun hanya mendalami maharat lughawiyah, pembelajaran kami sentiasa diselitkan dengan bicara doktor yang sering mengaitkan sesi taalim kami dengan kalam Rabbul jalil dan sunnah rasulNya.


Bagiku ilmu di bumi ini tidak terbatas sehinggakan aku menemuinya meskipun di dalam bas dan di pasar- pasar. Pernah seketika dalam perjalananku ke kuliah, di dalam bas aku diajukan soalan "Kem juz'in minal qura'n tahfazin?" oleh seorang mahasiswi jurusan Akaun Universiti Al-Azhar yang telah pun menghafaz keseluruhan ayat suci Al-quran. Begitu juga soalan yang sama ditujukan kepadaku sewaktu aku membeli ikan di pasar oleh penjual ikan seusia 20-an yang telah menghafaz suku daripada kitab suci Al-Quran walaupun dia hanya berpendidikan sekolah rendah. Terasa kerdil diri ini di sisiNya, apalah yang akan ku bawa untuk bertemuNya kelak. Bumi ini mengajarku supaya menjadikan kitabullah teman karibku. Di mana sahaja kedapatan anak muda memegang dan menghafaz Al-quran, 'ammu pemandu sering menghidangkan kalam indah ini di corong-corong radio teksi dan bas mereka, terasa sejuk mata memandang biah solehah ini yang mungkin agak nadir di bumi Malaysia.


Sejenak ku teringat mutiara kata mursyidku, Syeikh Ahmad Hajain ketika mengulas kitab Ihya' Ulumuddin karangan Al-'allamah Al-imam Hujjatul Islam Imam Ghazali "INNAMAA YAKHSYA ALLAHA MIN 'IBADIHIL 'ULAMAK" (Fatir:28).


Dapatku fahami bahawa hakikat ilmu bukanlah sekadar untuk dijadikan bekalan dalam kehidupan seharian tetapi untuk mencapai tahap Khashyatullah iaitu zouq tertinggi seorang hamba kerana takutkan Allah swt. Jika perasaan ini tidak hadir atau belum hadir maka pengetahuan tersebut hanya dikira sebagai maklumat semata. Terkesima aku tatkala mendengar kalam ini. Sejauh mana perasaan ini tertanam dalam diriku walaupun telah melalui madrasah ilmu selama hampir 15 tahun. Mampukah aku tanamkan khashyatullah itu dalam diri hina ini? Oh Allah, please show us the wisdom upon us.


Ketahuilah wahai diri, hadaf menuntut ilmu tidaklah terhad untuk kebaikan diri semata malah taklifan seorang ulamak jauh lebih besar. Pernah ku terbaca kata salah seorang ulamak 'amiliin di tanah air kita, ulamak ibarat juruterbang yang bertanggungjawab membawa seluruh isi kapal ke destinasi yang dituju. Tetapi bersamanya juga rakan sekerja seperti penjual tiket penerbangan dan tukang baiki kapal terbang yang akan mengurus ahwal penumpang dan kapal yang sama demi kelancaran perjalanan. Inilah analogi yang menyingkap peri pentingnya peranan para ulamak, merekalah yang akan membawa masyarakat kepada makrifatullah adapun golongan profesional dan golongan- golongan lain membantu perjuangan mereka dalam membawa masyarakat kembali kepada Islam yang syumul.


Perjalananku masih jauh. Ibarat bayi yang baru mula merangkak dan cuba untuk bangun kemudian bertatih. Terkadang terjatuh lalu menangis, namun ku pohon kekuatan daripada Yang Maha Penyayang, Yang Maha Mendengar rintihan hambaNya. Ya Allah, bantulah perjuangan hambaMu ini, kurniakan aku akal secerdas Saidina Ali KWJ dan zihni secerdik Saidatina A'esyah RHA agar dengan ilmu yang ku peroleh dapat ku tatbiqkan dalam seluruh kehidupanku seterusnya dapatku salurkan untuk agamaMu yang tercinta.


ALLAHUMMA FAQQIHNA FIDDIN, WA 'ALLIMNA AT TAKWIL WAHDINA SIROTHOKA ALMUSTAQIM, SIROTHO ALLAZINA AN'AMTA 'ALAIHIM MINA ANNABIYYIN WAS SIDDIQIN WA ASSYUHADAI WAS SOLIHIN WA HASUNA ULAAIKA RAFIQO ,YA ARHAMA ARROHIMIN, AMIN YA ROBBAL 'ALAMIIN.

No comments:

Post a Comment